Press enter to see results or esc to cancel.

Sayur-Sayuran Hijau Mungkin Boleh Membantu Mencegah Penuaan Kognitif

Salah satu teka-teki biologi yang sedang cuba diselesaikan oleh pengkaji-pengkaji di seluruh dunia ialah bagaimana penuaan kognitif berlaku. Penuaan kognitif merujuk kepada proses di mana aktiviti di dalam otak mengalami kemerosotan terutama sekali apabila individu berada pada peringkat umur yang sudah lanjut. Para pengkaji cuba untuk menyelesaikan misteri ini dengan mengkaji pelbagai aspek biologi manusia. Antara strategi untuk mengkaji misteri ini ialah sama ada dengan mengkaji komposisi genetik ataupun dengan mengkaji diet.

Umum diketahui bahawa sayuran-sayuran hijau mempunyai potensi untuk membantu memperlahankan proses penuaan disamping pelbagai khasiat-khasiat kesihatan jika diambil pada sukatan yang disyorkan. Terbaru kajian yang dilakukan oleh pasukan pengkaji yang diketuai oleh Dr. Naiman A. Khan dari University of Illinois at Urbana-Champaign (UIUC), Amerika Syarikat, mendapati bahawa satu sebatian (compound) yang dikenali sebagai lutein mungkin dapat membantu untuk mengurangkan proses penuaan kognitif.

Lutein

Lutein, sejenis sebatian dari kelas karotenoid, hanya boleh didapati pada kebanyakan tumbuhan-tumbuhan hijau seperti sayur bayam, brokoli, buah kiwi serta pada lain-lain tumbuhan hijau. Khasiat sebatian lutein untuk kesihatan mata dan kulit sudahpun dikenalpasti oleh para pengkaji sejak awal 90an lagi.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari UIUC ini dilakukan dengan mengkaji jumlah kandungan lutein yang terdapat di dalam mata. Menurut hasil kajian mereka yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers in Aging Neuroscience (DOI: 10.3389/fnagi.2017.00183), kepekatan lutein di dalam mata mempunyai hubungkait positive (positive correlation) dengan kepekatan lutein di dalam otak. Menurut mereka lagi, kandungan lutein yang tinggi di dalam diet mungkin boleh meningkatkan prestasi dan aktiviti otak.

Apa yang menarik mengenai hasil kajian mereka ialah individu-individu yang terlibat sebagai subjek di dalam kajian mereka. Apabila kita berbincang mengenai kajian yang melibatkan kajian penuaan, lazimnya kita mempunyai gambaran kajian tersebut dilakukan ke atas golongan yang sudah lanjut umurnya. Akan tetapi, kumpulan pengkaji ini memilih sekumpulan orang dewasa seramai 60 orang yang berusia sekitar 25 – 45 tahun. Justifikasi mereka ialah penuaan kognitif mungkin berlaku lebih awal daripada yang dijangka, maka adalah penting untuk mereka menilai sebatian apakah yang memberikan lebih impak jika diambil dengan kuantiti tertentu.

Meskipun para pengkaji dari UIUC ini mencatatkan penemuan positif di antara pengambilan lutein di dalam diet serta prestasi kognitif, kajian yang dilakukan oleh mereka perlu diolah dengan lebih lanjut lagi. Adalah pengambilan lutein sahaja boleh meningkatkan prestasi kognitif ataupun ia memerlukan sebatian yang lain untuk kesan yang optimum? Adakah lutein selamat diambil jika individu mempunyai penyakit yang tertentu?

Kami di SainsMY ingin menegaskan bahawa kami percaya bahawa pemakanan yang seimbang boleh menjadikan tubuh kita lebih sihat tanpa memerlukan kepada produk pemakanan tambahan. Jika anda mengambil apa-apa makanan pada kuantiti yang disyorkan oleh pakar, anda tidak perlu lagi mencari produk tambahan yang lain.

Kajian mengenai sebatian lutein dan kesannya terhadap penuaan kognitif masih lagi diperingkat permulaan. Masih banyak lagi yang perlu dikaji, antaranya ialah apa kesan buruk yang mungkin boleh terjadi apabila lutein diambil pada kuantiti yang tinggi. Jika anda ada terjumpa produk makanan tambahan yang mengiklankan kandungan lutein yang tinggi, kami berharap agar anda berwaspada dan segera merujuk kepada pakar jika anda berminat untuk membelinya.